LIMA di Langkawi....
Petugas sibuk memasang peralatan untuk pameran LIMA 2013.
Langkawi: Lebih 400 syarikat pempamer mengesahkan penyertaan dalam Pameran Antarabangsa Aeroangkasa dan Maritim Langkawi Ke-13 (LIMA ‘13), bermula esok. Pengarah Urusan HW LIMA, Ahmad Dzuhri A Wahab, berkata perkembangan itu sekali gus menjadikan LIMA ‘13 sebagai edisi terbesar pameran dwi tahunan itu sejak mula dianjurkan pada 1991.
“Untuk LIMA ‘13, 226 syarikat tempatan mengesahkan penyertaan diikuti 207 syarikat antarabangsa yang kebanyakannya pemain utama industri pertahanan dunia.
“Berbanding LIMA ‘12, pameran kali ini menunjukkan peningkatan kira-kira lapan peratus yang mampu menyumbangkan kepada pertumbuhan industri,” katanya.
Beliau sebelum itu mengiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad meninjau persiapan menjelang LIMA ‘13 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini.
Katanya, perkembangan itu jelas membuktikan LIMA ‘13 bukan sekadar pameran, sebaliknya pentas penting dalam mencapai misi menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi, khususnya berasaskan industri aeroangkasa dan maritim, termasuk sektor pertahanan.
“Sebanyak 78 pesawat dan 63 kapal turut dipamerkan kali ini, masing-masing di MIEC dan Jeti Awana Porto Malai, Langkawi.
Pelbagai jenis pesawat
“Kehadiran pesawat dan kapal pelbagai jenis ini dijangka menjadi daya penarik sepanjang LIMA ‘13 berlangsung bermula 26 hingga 30 Mac ini,” katanya.
LIMA ‘13 dibuka kepada pelawat awam pada 29 dan 30 Mac dengan bayaran tiket serendah RM10 seorang.
“LIMA ‘13 menjanjikan pelbagai keseronokan kepada pengunjung, khususnya segmen persembahan aerobatik yang menarik dan mendebarkan.
“Berbanding LIMA ‘12, empat pasukan aerobatik akan beraksi kali ini, dengan dua daripadanya membabitkan pasukan aerobatik tempatan,” katanya.
Selain The Smokey Bandits dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tim Aerobatik 1 Malaysia Krisakti, turut beraksi The Russian Nights (Russia) dan The Jupiter (Indonesia).
Sementara itu, Ismail berkata, LIMA ‘13 turut menyediakan peluang kepada syarikat tempatan berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan pemain utama industri aeroangkasa dan maritim dunia.
“Penganjuran LIMA masih relevan walaupun selepas 23 tahun, khususnya dalam merangka perkembangan industri aeroangkasa dan maritim, termasuk sektor pertahanan kita.
“Sejak 1991, LIMA mengalami pelbagai transformasi, sekali gus menyumbang kepada industri berkaitan di negara ini. Kesan paling nyata peningkatan jumlah syarikat tempatan yang terbabit dalam sektor berkenaan, selain pelbagai program pemindahan teknologi dan kepakaran dari luar negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment